MBK menang anugerah WHO

MBK menang anugerah WHO

KUANTAN: Komitmen Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) membantu golongan rentan bandar yang terjejas akibat penularan Covid-19 mendapat perhatian dan pengiktirafan dunia apabila dipilih menerima anugerah daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Anugerah yang diperoleh itu adalah di bawah kategori ‘Reaching and engaging vulnerable groups for their care and protection during COVID-19 pandemic’. 

Kejayaan meraih anugerah itu susulan usaha MBK melaksanakan projek kemanusiaan dikenali Kuantan Prihatin Ke atas Kumpulan Rentan Bandar (ENG; ‘Kuantan Care for Urban Vulnerable Groups’) yang memberi keutamaan terhadap tiga golongan rentan di bandar raya ini.  

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata golongan rentan terbabit terdiri daripada miskin tegar dan B-40 khususnya yang menyewa di mana-mana kawasan perumahan selain yang tinggal di pusat bandar raya. 

“Seramai 11,625 orang dalam kalangan mereka dibantu iaitu 6,679 penerima bantuan makanan, penerima bantuan kewangan (2,179), penerima kemudahan kesihatan (1,907), penerima pendidikan (730), penerima peluang pekerjaan (75) dan penerima penginapan (55). 

“MBK dapat menjayakan projek ini menerusi kerjasama Kerajaan Pahang dan syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC) serta pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) selain syarikat-syarikat perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Beliau berkata, projek khas itu dilaksanakan susulan siri perbincangan dan kajian di lapangan selain maklum balas daripada wakil penduduk setempat.

“Fokus utama adalah kepada soal keselamatan makanan, penginapan selamat, kemudahcapaian kemudahan kesihatan, bantuan sosial dan pendidikan serta bantuan kewangan selain peluang pekerjaan,” katanya.

Menurutnya, Kuantan antara tujuh bandar raya seluruh dunia yang memenangi anugerah pelbagai kategori anjuran WHO dan bandar raya ini juga satu daripada dua bandaraya di negara ini selain Kuching yang memenangi anugerah terbabit.

“Kuching memenangi anugerah Pengiktirafan Khas (Special Recognition) Bandaraya Sihat manakala yang lain ialah Songpa, Korea Selatan bagi kategori berkaitan Pencemaran Udara (Air Pollution); Shangrao, Republik Rakyat China mengenai Penuaan Sihat (Healthy Ageing);

“Gangdong, Korea Selatan pula Makanan Berkhasiat (Nutrition); Obu, Jepun berkenaan Ketidakaktifan Fizikal (Physical Inactivity); dan Baguio, Filipina berhubung aspek Bebas Asap (Smoke Free),” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kepemimpinan dan seluruh pegawai serta kakitangan MBK dapat terus mengambil pelbagai langkah demi menjayakan lagi usaha menjadikan Kuantan bandar raya gemilang yang selesa didiami penduduknya.

“Saya ucapkan tahniah kepada MBK yang diterajui Dato’ Bandar, Dato’ Hamdan Hussin, atas kejayaan ini,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN