KUANTAN: Kejayaan merekodkan hasil negeri lebih RM1 bilion dan awal daripada sasaran asal membuktikan kecekapan pengurusan kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, berkata kejayaan itu mengangkat Pahang antara negeri besar dan maju sebaris Selangor, Johor dan Pulau Pinang.
“Ini satu sejarah yang pastinya menjadi kebanggaan seluruh rakyat Negeri Pahang dan belia Pahang khususnya.
“MBNP mengucapkan tahniah atas kejayaan kerajaan negeri khususnya YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan seluruh kepimpinan kerajaan negeri. Kami bertekad untuk terus membantu kerajaan negeri membangunkan negeri tercinta ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri dapat menyediakan program tambahan bagi membantu rakyat untuk berdepan kegawatan ekonomi dunia yang dijangka berlaku tahun depan.
“MBNP yakin perolehan tinggi yang dicapai kerajaan negeri ini, pastinya akan dibalas dengan pelbagai program program bantuan untuk rakyat.
“Program sedia ada antaranya Bantuan Prihatin Pahang (BPP), Rumah Rakyat Pahang (RRP), Skim Tanah Warisan (STW) dan siri Pahang Pride dan pastinya ditambah baik alam Belanjawan Pahang 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
“Di samping itu, MBNP berharap kerajaan negeri dapat menyediakan program persediaan untuk membantu rakyat khususnya tahun hadapan yang mana dijangka bakal berlaku kemelesetan ekonomi dunia,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN