MBNP sokong TKPM libatkan belia

MBNP sokong TKPM libatkan belia

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) menyokong kelulusan 90 hektar tanah di Tanjung Putus, Mukim Kuala Kuantan, di sini, bagi membangunkan satu lagi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di negeri ini.

Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid, berkata pada masa sama, pihaknya menyokong pembabitan sebahagian peserta terdiri golongan belia berumur 18 hingga 40 tahun.

“Ketika ramai belia yang masih menganggur dan kehilangan kerja, program TKPM yang akan dilaksanakan ini pastinya dapat melegakan dan membantu ekonomi belia setelah ramai terkesan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.

“Komitmen Kerajaan Pahang ini juga selaras dengan titah KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melibatkan belia bersama di dalam pertanian dan menjadikan bidang ini sebagai pilihan kerjaya serta perniagaan bagi belia.

“MBNP juga berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan pembabitan MBNP bersama di dalam usaha ini dan seiring dengan inisiatif sedia ada yang sedang diusahakan oleh MBNP melalui Jawatankuasa Pertanian dan  Industri Asas Tani MBNP,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau berkata, MBNP menyeru golongan belia mengambil kesempatan daripada pengumuman oleh YAB Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail untuk bersama menggerakkan TKPM.