MCA sokong ADUN lantikan di Pahang

MCA sokong ADUN lantikan di Pahang

Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: MCA Pahang menyambut baik dan menyokong langkah kerajaan negeri mewujudkan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan bagi memantap dan melebarkan penyertaan proses demokrasi di dalam negeri ini.
Pengerusinya, Dato’ Sri Hoh Khai Mun, berkata usul pindaan yang sudah diluluskan itu mematuhi perlembagaan dan mendapat sokongan majoriti ahli dewan.
Justeru, katanya, ia tidak seharusnya dipolitikkan mengikut nafsu dan selera kepartian pihak pembangkang.
“MCA negeri yakin dan percaya YAB Dato’ Sri Menteri Besar (Wan Rosdy Wan Ismail) sudah menimbang serta menghalusi semua implikasi berkaitan (hal ini) sebelum mengusulkan pindaan perlembagaan.
“Oleh itu, ia harus dihormati dan disokong semua ahli dewan dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, hari ini.
Minggu lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang meluluskan usul untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi melantik lima ADUN tanpa melalui proses pilihan raya.
Mengikut cadangan itu, jumlah yang dicadangkan tidak lebih lima orang, menjadikan keseluruhan ADUN tidak lebih 47 orang termasuk 42 yang sedia ada dan dipilih melalui proses pilihan raya.
Sehubungan itu, Hoh berkata, MCA negeri mencadangkan supaya tatacara dan panduan pemilihan calon lantikan terbabit dapat diperhalusi dan diperkemaskan untuk memastikan ADUN lantikan dipilih daripada kalangan anak negeri yang benar-benar berkalibar dan berwibawa.
“MCA juga ingin mencadangkan pencalonan ADUN lantikan boleh membuka ruang kepada wakil daripada kumpulan minoriti antaranya masyarakat Orang Asli, pemimpin NGO (badan bukan kerajaan) dan komuniti OKU (orang kelainan upaya) untuk sama-sama mempelbagai dan menyuburkan nafas demokrasi di negeri ini,” katanya.