Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: “Saya bangga apabila setiap kali bulan kemerdekaan dapat kibarkan beratus Jalur Gemilang pelbagai saiz di luar rumah.
“Malah, tahun ini saya turut menghias rumah berselangkan bunga dan Jalur Gemilang sebagai tanda semangat cintakan negara,” kata Md Amin Sarju, 57, di Taman Indera Sempurna, di sini.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-64 ini, Md Amin menyediakan lebih 300 Jalur Gemilang pelbagai saiz yang dinaikkan di hadapan rumahnya.
Md Amin dan isteri, Rozana Sarman, 55, mula menghias rumah dengan Jalur Gemilang sejak beberapa hari lalu selepas mereka selesai menjalani kuarantin dua minggu di rumah kerana positif Covid-19.
“Kali ini, saya berbelanja lebih RM100 untuk membeli Jalur Gemilang yang baharu. Saya tidak pernah merasa membazir untuk membeli Jalur Gemilang sebagai hiasan setiap tahun. Malah, bangga apabila melihat bendera berkibar apabila ditiup angin,” katanya.
Md Amin berkata, walaupun pertandingan menghias rumah dengan Jalur Gemilang tidak diadakan tahun ini, dia dan isteri tetap meneruskan rutin tahunan menjelang Hari Kemerdekaan Ke-64.
Bagi Noraini Abdul Latiff 47, dia senang hati apabila dapat bersama jiran bergotong-royong menghias rumah dengan Jalur Gemilang.
“Saya yakin jumlah Jalur Gemilang di kawasan ini akan bertambah apabila hampir dengan tarikh keramat negara 31 Ogos,” katanya