Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
CAMERON HIGHLANDS: Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) akan menjalankan kerja mengindahkan sepanjang laluan di Lembah Bertam, di sini, dengan menanam pokok hiasan selain membina taman bunga mini.
Setiausaha MDCH, Mazlan Mohamed Isa berkata, beberapa spesies pokok hiasan sudah dikenal pasti untuk ditanam di beberapa lokasi sesuai sepanjang jalan di Lembah Bertam yang menjadi pintu masuk pelancong ke pusat peranginan ini yang menggunakan laluan Pos Betau-Cameron Highlands.
Katanya, sebelum ini aktiviti menanam pokok hiasan tidak dapat dibuat berikutan rizab jalan sedia ada digunakan oleh pekebun untuk menanam sayur selain membina bangunan.
“Selepas Op Bertam akhir tahun lalu yang menumpukan kepada rizab jalan, sungai dan tanah kerajaan, aktiviti pengindahan di beberapa lokasi sesuai di laluan terbabit akan dilakukan secara berperingkat. Beberapa jenis pokok hiasan akan ditanam.
“Rizab jalan sepanjang Lembah Bertam yang dulunya kebun sayur namun kini sudah dibersihkan dan ia kini kelihatan lebih menarik,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini bagi rancangan tebatan banjir Lembah Bertam, MDCH terbabit dengan aktiviti menanam pokok di tepi jalan bagi memastikan pekebun tidak bertindak menceroboh rizab jalan.
Mazlan berkata, tugas mengindahkan Cameron Highlands dipikul sepenuhnya oleh MDCH dalam memastikan pusat pelancongan tanah tinggi itu terus kelihatan menarik seterusnya mengamit kehadiran lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara
Bagaimanapun katanya, pemantauan kegiatan menceroboh rizab jalan turut akan dilakukan pihaknya bagi membantu Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).