MEC-Jerman perkukuh peluang kerjaya graduan UMP 

MEC-Jerman perkukuh peluang kerjaya graduan UMP 

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Yayasan UMP memeterai perjanjian bersama untuk menubuhkan Komuniti Jurutera Malaysia di Jerman (MEC-Jerman).

Kerjasama itu bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan menerusi pelaksanaan German Industry Employability Programme (GIEP) yang bakal memanfaatkan penuntut bagi penempatan kerjaya di Jerman.

Majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) itu disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman merangkap Pengerusi Yayasan UMP dan UMP diwakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Mohd Rosli Hainin manakala MEC diwakili Presiden MEC, Ruzaidi Abdul Rashid.

Dr Abdul Aziz berkata, dengan kerjasama itu dapat membangunkan satu hab kerjaya antarabangsa sebagai pusat sehenti bagi pembangunan penuntut dan graduan UMP berkaitan kerjaya antarabangsa.

“Pada masa yang sama, ia dapat meningkatkan nilai tambah penuntut mahir teknologi selaras Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) terutama dalam kecerdasan buatan (AI) dan Internet Of Things (IoT),” katanya. 

Sehingga ini, 181 penuntut UMP berjaya menamatkan program kerjasama (dual ijazah) dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik, Kejuruteraan Automotif dan Kejuruteraan Perniagaan, sejak kerjasama diadakan pada 2010. 

Hubungan baik itu membolehkan UMP bekerjasama dengan nama besar dalam industri seperti Mercedes-Benz, Volkswagen, BMW, Robert Bosch, Muehlbauer Technologies dan Elektrisola. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN