YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail bersama delegasi Kerajaan Pahang mengadakan pertemuan dengan Presiden Universiti Yarmouk, Profesor Dr Islam Massad, Dekan Fakulti Syariah Universiti Yarmouk , Prof Dr Mohamad Talafhah dan Pengarah Pusat Bahasa Universiti Yarmouk, Profesor Dr Rasha Abdouh yang lawatan kerja ke Jordan hari ini.
Pertemuan ini bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Kerajaan Negeri Pahang dan Universiti Yarmouk sejak 20 tahun lalu dalam melahirkan graduan berkelulusan agama yang berkualiti terutamanya melibatkan pelajar Pahang di universiti tersebut.
” Kerajaan Negeri menerusi University College of Yayasan Pahang (UCYP) telah menjalankan program berkembar bersama Universiti Yarmouk. Menerusi program berkembar ini, pelajar yang terdiri daripada anak-anak Pahang akan mengikuti pengajian selama dua tahun di UCYP dan dua tahun lagi di Universiti Yarmouk” katanya dalam hantaran di laman Facebook miliknya hari ini.
Menurutnya lagi, terdapat empat perkara dibincangkan dalam pertemuan ini iaitu mengenai pertukaran pelajar, pembelajaran bahasa Arab secara online oleh tenaga pengajar di Jordan dan pelajar UCYP, pertukaran guru, serta kelangsungan Kursi Pahang di Universiti Yarmouk.
“Semoga hubungan dua hala ini terus terjalin dengan lebih erat bagi membantu mempermudahkan anak-anak Pahang untuk melanjutkan pengajian di universiti itu”, katanya.
Oleh : Khabi Ismail