Melombong emas waktu malam elak dikesan

Melombong emas waktu malam elak dikesan

Oleh Mohd Imran Izzad  fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUALA LIPIS: Melombong pada waktu malam hingga pagi adalah taktik terbaharu dikesan dilakukan sindiket melombong emas secara haram di daerah ini bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

  Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis, Nor Shahrini Nordin Ahmad berkata, aktiviti berskala kecil dan sederhana itu dilakukan oleh dua hingga empat individu dengan menggunakan enjin pam air dan karpet pengalas kaki sebagai penapis untuk memerangkap emas.

PHD Lipis memeriksa kawasan bekas lombong emas haram di Hutan Simpan Kechau ketika melakukan rutin pemeriksaan.

  Menurutnya, kegiatan berkenaan didalangi individu berpengalaman dengan menjadikan hutan simpan sebagai lokasi utama mereka memburu galian berharga dalam perut bumi daerah ini.

  “Kita melakukan pemantauan kegiatan melombong emas secara haram dalam hutan simpan secara berterusan dan aktiviti rondaan dilakukan setiap minggu terutama di kawasan panas.

  “Terdapat empat kawasan hutan simpan di daerah ini menjadi tumpuan kegiatan melombong emas secara haram,” katanya dihubungi, di sini.

  Beliau menambah, Hutan Simpan Kechau dan Hutan Simpan Ulu Jelai kini menjadi antara lokasi tumpuan sindiket melombong emas, di mana kegiatan dilakukan oleh mereka yang berpengalaman dan turut  menggunakan pelbagai peralatan termasuk jentera berat.

  Nor Shahrini berkata, PHD Lipis memandang serius kegiatan menceroboh hutan simpan untuk aktiviti melombong emas secara haram. Usaha mengesan dan menangkap mereka akan dilakukan dengan apa juga cara.

  Katanya, rondaan dilakukan setiap minggu di kawasan panas bagi memastikan kegiatan haram itu tidak terus berulang yang menyebabkan kemusnahan hutan dan  pencemaran air sungai serta kerugian pada kerajaan negeri. 

  “Rondaan turut membabitkan kawasan bekas lombong haram bagi memastikan tidak ada pihak lain mengambil kesempatan melakukan kegiatan sama.

  “Kita sentiasa berusaha untuk menangkap mereka yang melakukan kesalahan melombong emas secara haram bagi dikenakan tindakan undang-undang seterusnya dapat memberi kesedaran pada semua pihak supaya tidak mencubanya;” katanya.

  Bulan lalu, PHD Lipis menumpaskan sindiket melombong emas secara haram yang pertama tahun ini di Kompartmen 86, Hutan Simpan Ulu Jelai, Mukim Batu Yon, di sini. Tahun lalu lima kes dikesan dan beberapa individu ditahan.

  Tinjauan aktiviti rondaan dilakukan mendapati perjalanan yang jauh ke dalam hutan menggunakan jalan balak antara cabaran dihadapi kakitangan PHD Lipis.