Memadai ‘kasih sayang’ kerajaan negeri

Memadai ‘kasih sayang’ kerajaan negeri

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Dia hidup sebatang kara tanpa kasih sayang anak dan isteri. Namun bagi warga emas ini, ‘kasih sayang’ ditunjukkan kerajaan negeri kepadanya sudah memadai.
Ngah Ismail, 87, dari Kampung Pantai, Beserah, dekat sini, tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila terpilih sebagai penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP), iaitu inisiatif pemberian rumah percuma kepada golongan berpendapatan rendah (B40) sumbangan kerajaan negeri.
“Syukur sangat apabila kerajaan (negeri) dan YB (Yang Berhormat) Andansura (Rabu) mempedulikan nasib saya yang sebelum ini tinggal di rumah buruk.
“Dengan rumah ini bolehlah saya jalani kehidupan dengan lebih selesa,” katanya yang mengalami masalah pendengaran.
Anak saudaranya, Muhammad Fariduddin Mohd Salleh, 30, berkata Ngah kini hanya mengumpul dan menjual kotak terpakai untuk menyara hidup selepas tidak lagi menjadi nelayan.
“Waktu mudanya dia bekerja sebagai tentera, kemudian menjadi nelayan tetapi memandangkan uzur dan usia sudah lanjut, dia tidak lagi ke laut.
“Sudah 30 tahun dia tinggal di sini dalam keadaan serba daif dan uzur. Dia juga tidak pernah berkahwin.
“Mujur juga pada 2016 permohonannya untuk memiliki tanah tempat tinggalnya kini diluluskan kerajaan negeri sekali gus memudahkan urusan pembinaan RRP,” katanya sering membantu bapa saudaranya itu menguruskan pelbagai hal.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu, berkata Ngah seorang daripada tiga penerima RRP di DUN Beserah.
“Tiga penerima di DUN Beserah ini adalah di Kampung Pantai ini dan di Cherating yang sudah siap manakala satu lagi di Alor Batu, Jabor yang dijangka siap dalam tempoh seminggu lagi,” katanya.
Tambahnya, Ngah dipilih selepas pihaknya berasakan warga emas itu layak menjadi penerima berikutan hidup bersendirian di rumah kayu lama yang terlalu uzur.
“Kita sasarkan supaya rumah ini disiapkan dalam tempoh 10 minggu tetapi kontraktor dapat menyiapkannya dalam masa enam minggu sahaja dan kita puas hati dengan kerja dilakukan untuk menyiapkan rumah warga emas ini,” katanya.
Sehubungan itu, Andansura menyeru rakyat Pahang supaya terus memberi sokongan terhadap usaha murni dilaksanakan kerajaan negeri dan pentadbiran setempat seperti projek RRP.
“Ini demi memastikan keselesaan berterusan kepada rakyat,” katanya.