Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Kemenangan 4-0 ke atas Kelantan United pada perlawanan persahabatan Ahad lalu, ternyata memberi aura positif buat Sri Pahang FC.
Ia diakui penjaga gol pasukan itu, Zarif Irfan Hashimuddin yang memberi gambaran bahawa Sri pahang berada pada prestasi terbaik untuk mempamerkan aksi cemerlang.
Katanya, kemenangan itu memberi lebih keyakinan dalam membantu pasukan mencatat keputusan lebih baik sebaik saingan Liga Super bersambung, Jumaat ini.
“Dengan kemenangan besar itu, ia sememangnya menaikkan motivasi dan pada masa sama dapat memperbaiki kelemahan pada perlawanan sebelum ini.
“Sebenarnya tempoh rehat 10 hari dengan menjalani latihan termasuk beraksi dalam satu perlawanan persahabatan banyak membantu memperbaiki kelemahan terutama mempertajamkan bahagian serangan,” katanya.
Mengulas perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Jumaat ini, Zarif Irfan percaya pasukan itu tidak akan berdepan masalah.
Katanya, Sri Pahang sudah bersedia dan akan mempamerkan prestasi terbaik untuk menafikan peluang tuan rumah.
“Peluang memungut mata di tempat lawan tetap ada jika dilihat kepada prestasi semasa dan mengharapkan semua pemain dapat melakukannya.
“Biarpun peluang 50-50 tetapi tiada yang mustahil untuk mencatat kemenangan kerana kami hanya menang satu kemenangan dalam liga perlawanan.
“Kemenangan amat penting untuk meletakkan Sri Pahang pada kedudukan lebih baik memandangkan ketika ini berada di kedudukan ke-11,” katanya.