Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar/video Mustaffa Kamal
TEMERLOH: “Dalam keadaan gelap gelita entah pukul (jam) berapa, kami tak tahu bagaimana lagi nak menyelamatkan diri, tambahan pula dengan keadaan saya yang uzur bersama isteri… memang betul-betul menyabung nyawa.
“Entah bagaimana, ketika air naik separas dada, saya dapat kekuatan untuk meminta tolong kepada anak saudara dan beberapa rakannya. Merekalah yang bantu kami pergi ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan mengangkat beberapa barangan rumah,” kata Sharifuddin Mohamad, 69, dari Kampung Bukit Ketumbit, di sini, menceritakan detik cemas ketika dia dan isteri, Normala Hamzah, 62, ditimpa musibah bajir di kediaman mereka, Isnin lalu.
Menurutnya, dia dan isteri ketika itu benar-benar bimbang dan cemas kerana tiada sesiapa yang boleh diharapkan untuk menolong mereka.
“Saya sampaikan menangis sebab bimbang sangat. Dalam keadaan saya ditimpa bermacam-macam penyakit kronik, cuma isteri yang ada untuk membantu, manakala jiran tetangga pula sibuk dengan keluarga masing-masing.
“Tambahan pula dua anak tidak dapat pulang kerana berada di kawasan zon merah di Selangor dan seorang lagi di Pasir Gudang. Saya paling bimbang jika terjadi lagi banjir besar seperti 2014 sampai tinggal atap sahaja,” kata bekas wartawan sambilan Berita Harian itu.
Sharifuddin berkata, walaupun banjir kali ini menyebabkannya kerugian kira-kira RM40,000, dia tetap bersyukur kerana tiada kecelakaan lebih berat menimpa keluarganya.
Sementara itu, Normala berkata, suaminya itu menghidap beberapa jenis penyakit kronik antaranya buah pinggang, kelenjar selain jantung, kencing manis dan darah tinggi.
“Penyakit tiga serangkai itu masih terkawal tapi paling teruk sakit buah pinggangnya, sebab itu saya risau sangat bila air naik dengan cepat.
“Walaupun kali ini tidak seteruk 2014 dulu, ia amat membimbangkan kerana keadaan penyakitnya itu,” katanya.
Musibah menimpa Sharifuddin itu turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Dalam Negeri I merangkap Ahli Parlimen Kuala Krau, Dato’ Sri Ismail Mohamed Said dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang menyampaikan bantuan keperluan harian dan sumbangan peribadi.
Manakala Kelab Media Pahang yang diketuai Presidennya, Dato’ Nik Naizi Husin dan sukarelawan FELCRA membantu membersihkan kediaman Sharifuddin.