Menara Kuantan 188 kini dikenali Kuantan 188

Menara Kuantan 188 kini dikenali Kuantan 188

KUANTAN: Kuantan 188 yang sebelum ini dikenali Menara Kuantan 188, dijangka mampu menarik kunjungan lebih 300,000 orang sepanjang tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Zulkifli Mohamad, berkata sasaran itu realistik dan mampu dicapai dengan mengambil kira tiada sebarang halangan besar berlaku. 

Katanya, pihaknya juga menyandarkan keyakinan mencapai sasaran itu berdasarkan pelbagai tarikan baharu disediakan di Kuantan 188, antaranya aktiviti ‘sky walk’, ‘drop zone’, dan ‘anthena climb’ seperti terdapat di Menara Macau dan Taipei 101.

“Pengunjung boleh menikmati keindahan sekitar bandar raya Kuantan secara 360 darjah selain mencuba pelbagai aktiviti mencabar disediakan seperti yang terdapat di menara terkenal lain di luar negara.

“Selain itu, kemudahan restoran ‘atas awan’ yang bakal beroperasi pasti menjanjikan pengalaman baharu kepada pengunjung. Kita juga mempelawa peniaga makanan sekitar daerah ini untuk memohon tapak niaga di Kuantan 188,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Jenama dan Logo Baharu Kuantan 188 di menara itu di sini, hari ini.

Selepas setahun dilancarkan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah, mercu tanda bandar raya Kuantan yang sebelum ini dikenali sebagai Menara Kuantan 188, dijenamakan semula sebagai Kuantan 188, hari ini.

Selain dijenamakan semula, Kuantan 188 turut menerima sijil sebagai ahli rasmi ‘World Federation of Great Towers’ (WFGT), sekali gus diiktiraf sebagai menara kedua tertinggi di Malaysia. 

Majlis penjenamaan semula dan pelancaran logo baharu dilakukan Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Edmund Santhara dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman; Pengurus Besar Tourism Malaysia Pahang, Kamarudin Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hospitality 360, Dato’ Indera Omar Naresh Mohan.

Sementara itu, Santhara dalam ucapannya berkata, penjenamaan semula itu dijangka dapat meningkatkan lagi imej bandar raya Kuantan sebagai destinasi pelancongan pilihan utama di Pahang. 

“Selepas tidak beroperasi hampir tujuh bulan, sudah pasti pembukaan semula menara Kuantan 188 pada Disember tahun lalu dapat kembali merancakkan ekonomi setempat, apatah lagi dengan pengiktirafan diterima sebagai menara kedua tertinggi di Malaysia dan menerima sijil daripada WFGT. 

“Saya diberitahu, pihak pengurusan Kuantan 188 juga akan menjadi mercu tanda pengalaman teknologi 5G, realiti maya dan gaya hidup berasaskan teknologi, dan ini bakal menarik (kedatangan) pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN