BENTONG: Perasaan gembira bercampur terharu terdetik di hati 389 peneroka FELDA Kemasul di sini, apabila masing-masing menerima surat hak milik, hari ini.
Malah, ramai daripada mereka menitiskan air mata selepas saat yang dinantikan sekian lama, menjadi kenyataan.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ketika menyampaikan surat hak milik itu, beliau dapat melihat kegembiraan terpancar di wajah setiap peneroka.
“Ketika menyampaikan surat hak milik ini, saya ingatkan mereka supaya menjaga tanah ini dengan baik supaya dapat diwariskan kepada generasi akan datang kerana langit tidak selalu cerah.
“Sesungguhnya, kejayaan dan pencapaian yang dinikmati peneroka FELDA hari ini diinspirasikan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak dan menjadi legasi ulung yang harus kita syukuri. Alhamdulillah,” katanya.
Beiau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik Peneroka FELDA Kemasul di Dewan FELDA Kemasul di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Dato’ Nazri Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Dato’ Mohd Soffi Abdul Razak; Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Zulkifli Hashim. – HELMY ABD RAHMAN