Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar
KUANTAN: Ahli Parlimen Paya Besar, Shahar Abdullah menjunjung kasih di atas perkenan KDYMM Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas pelantikan sebagai Timbalan Menteri Kewangan I.
Beliau yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Menteri Kewangan II, turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan sebagai antara pemimpin muda dalam kerajaan untuk kembali menyertai barisan Kabinet.
“Insya-Allah, saya akan berganding bahu dan bekerjasama dengan Menteri Kewangan, Dato’ Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan, dalam masa sama kepentingan ekonomi negara dapat dijaga dan dipulihkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lipis, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berterima kasih atas kepercayaan yang diberi oleh Perdana Menteri dan perkenan Seri Paduka Baginda.
“Misi saya untuk membangunkan masyarakat luar bandar akan diteruskan bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar (Dato’ Sri Mahdzir Khalid). Mohon iringan doa semua dalam melaksanakan amanah ini, terima kasih,” kata Abdul Rahman yang dilantik Timbalan Menteri I.
Shahar dan Abdul Rahman, masing-masing dilantik kembali sebagai Timbalan Menteri I di Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.