MENTARI bantu pesakit mental

MENTARI bantu pesakit mental

JERANTUT: Warga Pahang yang ada masalah kemurungan boleh menggunakan Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI)  sebagai tempat untuk meluah masalah mereka bagi mendapatkan bantuan awal dan rawatan segera.

Pengarah Kesihatan Pahang, Dato’ Dr Nor Azimi Yunus berkata, MENTARI kini berada di dua lokasi iaitu di Mentakab dan di Balok, Kuantan.

“Kita kena ambil tahu perkara berkaitan dengan kesihatan mental sama ada di kalangan keluarga dan rakan supaya dapat diberi bantuan segera.. 

“Mereka boleh dirujuk kepada pakar psikiatri di hospital di seluruh daerah atau bantuan psikososial melalui talian Mental Health dan Psychosocial Support ( MHPSS) di semua daerah di Pahang yang dikendalikan oleh pegawai psikologi,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas sambutan hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Negeri Pahang di Dewan ADTEC, di sini, semalam. 

Kira-kira 200 pelajar dari lima sekolah menengah dan beberapa agensi kerajaan di Jerantut menyertai acara itu. 

Dr Nor Azimi berkata, sejak COVID-19 melanda negara, lawatan orang ramai bagi mendapatkan bantuan pakar psikiatri di hospital di negeri ini turut mencatatkan peningkatan akibat  pelbagai masalah seperti dibuang kerja, kewangan dan masalah keluarga.

Beliau berkata,  Jabatan Kesihatan Pahang sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak  terutama membabitkan pelajar dan masyarakat menerusi kempen ‘Let’s Talk Minda Sihat’ kepada kumpulan sasar dalam usaha mencegah kejadian bunuh diri.