Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Penduduk Pahang diingatkan tidak lalai dan sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) sebaik beralih kepada Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), esok.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata peralihan fasa itu tidak akan kekal jika rakyat lalai.
“Bagi mana-mana mukim atau lokaliti yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ia masih lagi tertakluk kepada SOP,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, di sini.
Mengulas peralihan Fasa Kedua PPN itu, Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang menyambut baik pengumuman peralihan negeri itu bersama empat negeri lain.
“Dengan peralihan ke fasa kedua, beberapa sektor ekonomi lain dijangka dibenarkan beroperasi.
“Saya percaya peralihan ini menjadi kelegaan kepada mereka seperti penjaja pasar tani dan pasar pagi yang dibenarkan beroperasi tetapi mengikut syarat ditetapkan,” katanya.
Pada sidang media, semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan Pahang antara lima negeri, termasuk Perak, Kelantan, Terengganu dan Perlis, mencapai semua syarat nilai ambang dan boleh beralih ke Fasa Kedua PPN.