Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
MUADZAM SHAH: Konflik rumah tangga dipercayai menjadi punca seorang lelaki Orang Asli bertindak melarikan diri masuk ke dalam hutan di Kampung Kundang, di sini.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar, berkata pihaknya menerima aduan penduduk kampung berhubung kehilangan lelaki berusia 19 tahun itu selepas usaha mencari dilakukan gagal, kelmarin.
Menurutnya, maklumat daripada tok batin Kampung Kundang, Wahid Abdullah, mendakwa lelaki itu berhadapan masalah rumah tangga sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, usaha tok batin dan keluarga untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi tidak berjaya sehingga menyebabkan lelaki itu kecewa, merajuk dan melarikan diri ke hutan.
“Operasi mencari lelaki yang hilang kini giat dilakukan oleh kira-kira 20 anggota polis balai Muadzam Shah bersama Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah serta Kuantan. Ia turut dibantu 25 penduduk Orang Asli.
“Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan turut membantu mengesan lelaki itu,” katanya yang turut sama menyertai operasi mencari hari ini.
Beliau berkata, kawasan hutan yang dipercayai tempat lelaki itu hilang tidak terlalu luas, dikelilingi ladang kelapa sawit dan hutan yang sudah diteroka.
Mohd Azahari berkata, operasi bertumpu di kawasan hutan dekat rumah keluarga isteri lelaki itu berikutan kemungkinan dia datang untuk melihat anaknya yang berusia 12 bulan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang, Johari Alwi berkata, pihaknya turut sama membantu mengesan lelaki terbabit.
“Kita sentiasa kerjasama dengan tok batin untuk membantu menyelesaikan masalah rumah tangga yang dihadapi masyarakat Orang Asli supaya tidak berlarutan,” katanya.