RAUB: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub menanam 1,500 Meranti Tembaga dan Merawan Siput di kawasan bekas kebun Musang King yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Teras, di sini, hari ini.
Pegawai PHD Raub, Shahril Mohamad berkata, selepas selesai menebang 600 pokok durian Musang King dalam Operasi Teras semalam, usaha menghijaukan semula kawasan terbabit terus dilakukan.
Menurutnya, aktiviti menanam memerlukan antara dua hingga tiga hari dengan bantuan lebih 45 kakitangan PHD Raub, PHD Bentong, PHD Lipis dan Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat.
“Aktiviti menanam pokok hutan perlu dilakukan segera. Apatah lagi ketika ini musim hujan yang dapat mempercepatkan lagi tumbesaran pokok,” katanya yang turut sama menyertai program menanam itu.
Shahril berkata, pihaknya akan terus memantau kawasan berkenaan secara berterusan dalam memastikan ia tidak lagi diceroboh. – MOHD IMRAN IZZAD.