Meriah weh pantai kat Pahang September ni

Meriah weh pantai kat Pahang September ni

KIRA-KIRA 500 peserta termasuk dari luar negara bakal memeriahkan Pahang Ocean Paddle International Challenge Malaysia 2022, pada 7-11 September depan.

Kejohanan yang kali pertama dianjurkan itu akan membabitkan lima peringkat dengan laluan keseluruhan sejauh 64 kilometer itu.

Peringkat pertama bermula di Pantai Hiburan, Rompin; Pantai Lagenda, Pekan (kedua), Pantai Balok, Kuantan (ketiga), Pantai Cherating, Kuantan (keempat) dan Pantai Teluk Cempedak, Kuantan (kelima).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, daripada 500 peserta, 100 orang membabitkan peserta dari luar negara.

Katanya, peserta luar negara yang mengesahkan penyertaan ialah dari Australia, New Zealand, Thailand, Singapura, Jepun dan Portugal.

“Hadiah keseluruhan berjumlah RM300,000 yang membabitkan enam kategori dipertandingkan. 

“Kita harap acara bertaraf antarabangsa ini berjalan lancar dan menarik perhatian kerana bakal disiarkan menerusi saluran media sosial setiap hari dan boleh ditonton di seluruh dunia,” katanya.

Mohd Sharkar berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pahang Ocean Paddle International Challenge Malaysia 2022 di sini, hari ini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN