BENTONG: “Apapun kekurangan dan kelemahan BN dan UMNO, hendaklah diperbaiki daripada dalam.”
Bekas YAB Menteri Besar, Tan Sri Dr Adnan Yaakob, berkata cara memperbaiki kelemahan itu bukannya dengan tidak memberi undi pada calon Barisan Nasional (BN).
Adnan berkata, apabila BN menang secara dominan dan berlakunya pembentukan kerajaan, barulah bersuara untuk memperbetulkan mana yang perlu.
Beliau berkata, janganlah melakukan protes dengan enggan mengundi calon BN hanya kerana marahkan individu tertentu dalam parti.
“Ketahuilah wahai pengundi semua bahawa tidak apa parti lain selain daripada BN yang banyak berjasa, banyak membuat kebaikan kepada kita semua.
“Apa untungnya kalau kita protes?. Ia sebaliknya memberikan kelebihan kepada calon parti lain untuk menang,” kata Adnan dalam majlis perjumpaan calon Parlimen Bentong dan DUN Ketari, Bilut, Sabai dan Pelangai, di sini, malam tadi.
Turut hadir YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; calon Parlimen Bentong Tan Sri Liow Tiong Lai; calon Ketari, Dato’ Amizar Abu Adam; calon Bilut, Wong Siew Mun dan calon Sabai, V Arumugam. – HUSIN IBRAHIM