Mesej tular COVID-19 di Cameron Highlands palsu

Mesej tular COVID-19 di Cameron Highlands palsu

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menafikan penularan mesej di media sosial kononnya terdapat arahan supaya pengunjung sebuah premis di Cameron Highlands menjalani ujian pengesanan COVID-19 di klinik kesihatan.

  Pengarah Kesihatan negeri, Dato’ Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah, berkata pesakit yang dikesan positif di premis itu sudah dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.  

  Katanya, pihak JKNP juga sudah menjalankan aktiviti pengesanan kontak pesakit secara aktif.

  “Kontak-kontak rapat kes sudah diasingkan dan disaring untuk pengesanan COVID-19. Justeru dimaklumkan, tiada arahan untuk menjalankan ujian pengesanan COVID-19 di klinik kesihatan seperti ditularkan.

  “Berdasarkan pergerakan kes (pesakit) Jabatan Kesihatan negeri melalui Pejabat Kesihatan Daerah Cameron Highlands sudah mengenal pasti tempat-tempat yang dikunjunginya,” katanya menambah notis penutupan premis terbabit dikeluarkan bagi tujuan nyah kuman dan nyah cemar.

   Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

  Sebelum ini, tular di aplikasi Whatsapp dan Facebook berhubung penutupan premis akibat COVID-19 di Cameron Highlands dan pengeluaran arahan menjalankan ujian pengesanan pandemik berkenaan.