Mesyuarat khas Raja-Raja Melayu bincang calon PM ke-9 hari ini

Mesyuarat khas Raja-Raja Melayu bincang calon PM ke-9 hari ini

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Raja-Raja Melayu dijangka mengadakan pertemuan khas di Istana Negara bagi membincangkan isu semasa negara, khususnya pelantikan Perdana Menteri ke-9, pada 2.30 petang ini. 

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu akan dipengerusikan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Portal BERNAMA dipetik sebagai berkata, perbincangan bertumpu kepada pelantikan seorang Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, selaras dengan Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan.

Pelantikan berkenaan susulan keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8, pada 16 Ogos lalu.

Semalam, sesi menghadap Al-Sultan Abdullah berlangsung berperingkat membabitkan 114 Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Ahli Parlimen Bebas.

Sehingga ini, bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bera, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dicalonkan sebagai Perdana Menteri ke-9 di samping Ahli Parlimen Port Dickson, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Ia berdasarkan kenyataan beberapa pemimpin parti politik PN dan Pakatan Harapan (PH) serta beberapa Ahli Parlimen.