JENGKA: Kesungguhan Norhasmimi Abdul Ghani dalam memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka kembali menjadi milik Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak dapat disangkal lagi berdasarkan gerak kerja yang dilakukannya.
Menurutnya, sebagai calon baharu beliau sentiasa bersedia untuk berjuang bersama jentera parti sehingga detik terakhir sebelum hari pengundian, esok.
“Saya sudah biasa berdepan dengan jadual kerja yang ketat dan padat seperti yang dilalui ketika ini kerana sentiasa melibatkan diri dalam pelbagai program di peringkat parti dan jabatan sebelum ini.
“Justeru, untuk memastikan kekal bertenaga, saya amalkan pemakanan sihat dan menjaga waktu tidur serta melakukan sedikit senaman ringan sebelum keluar berkempen,” katanya kepada Fikrah Pahang.
Norhasmimi, 47, berterima kasih kepada suaminya, Khairul Amin Osman, 47, yang
sentiasa memahami dan memberi sokongan kepadanya untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Jadual kempen saya padat. Keluar rumah jam 7 pagi dan pulang semula pukul 12 tengah malam. Suami dan anak adalah sumber kekuatan saya,” katanya.
Norhasmimi yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Krau, berkata beliau juga menggunakan poster, bahan kempen, platform media sosial Facebook, WhatsApp dan TikTok untuk mendekatkan dirinya dengan pengundi.
“Saya optimis merampas kembali DUN Jengka kerana rakyat sedar hanya BN yang boleh memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
“Kejayaan kerajaan BN mengemudi Pahang adalah satu kelebihan untuk pengundi Jengka kembali kepada BN,” kata ibu kepada seorang cahayamata itu.
Norhasmimi akan dicabar penyandang kerusi, Shahril Azman Abd Halim Al Hafiz (Pas) dan Jamaluddin Abd Rahim (PH).
Pada PRU-14, Dato’ Wan Salman Wan Ismail (BN) tewas kepada Shahril Azman Abd Halim Al Hafiz dari Pas dengan majoriti 1,813 undi manakala Jalani Ludin (PKR) hilang wang pertaruhan. – NUR HANNAH KHADIJAH