Hafiz Awang
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar Hafiz Awang
PEKAN: “Alhamdulillah, rasa seperti mimpi,” kata Mohd Khanafiah Abu Bakar dari Kampung Tanjung Pulai di sini.
Mohd Khanafiah, 52, adalah antara mangsa banjir yang menerima kurniaan rumah daripada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA).
“Saya rasa amat bersyukur apabila impian memiliki kediaman selesa jadi kenyataan selepas 16 minggu menanti.
“Saya akan pindah ke kediaman baharu ini secepat mungkin selepas terpaksa menumpang di rumah saudara sejak tujuh bulan lalu,” katanya.
Mohd Khanafiah juga berterima kasih kepada semua pohak terbabit dalam pembinaan rumah berkeluasan 660 kaki persegi (61.32 meter persegi) itu yang dibina sejak Februari lalu.
Selain kediaman Mohd Khanafiah di Kampung Tanjung Pulai, Al-Sultan Abdullah berkenan menyerahkan kunci kediaman kepada seorang lagi penerima, Nur Hasnah Md Yunos di Kampung Acheh, di sini.
Baginda Tuanku turut meluangkan masa mengunjungi dan mengurniakan sumbangan kepada sembilan keluarga sekitar Kampung Tanjung Pulai dan Kampung Acheh.
Mereka terdiri daripada keluarga kurang bernasib baik dan bekas anggota polis yang mengalami kemalangan ketika bertugas.