Mindef beri RM500 kepada mangsa banjir di Kem Batu Tiga di Temerloh

Mindef beri RM500 kepada mangsa banjir di Kem Batu Tiga di Temerloh

TEMERLOH: Kementerian Pertahanan (Mindef) mengambil inisiatif menghulurkan bantuan wang tunai sebanyak RM500 kepada 104 keluarga di Kem Batu Tiga di sini, yang terjejas akibat banjir.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata bantuan itu sebagai tambahan kepada bantuan RM1,000 Kerajaan Persekutuan dan RM500 oleh Kerajaan Pahang.

Selain itu, katanya, Mindef turut menyalurkan peruntukan RM10,000 untuk Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di Kem Batu Tiga bagi tujuan baikpulih kerosakan.

“Di Kem Batu Tiga ini terdapat 104 keluarga termasuk 26 keluarga warga awam Mindef yang terkesan akibat banjir bagi meringankan beban mereka yang terjejas di sini.

“Mindef menghulurkan bantuan awal iaitu wang tunai sebanyak RM500 kepada setiap keluarga selain membekalkan bakul makanan dan kelengkapan asas rumah antaranya peti ais, cerek, dapur, periuk nasi, bantal, tilam, cadar, selimut serta katil,” katanya selepas melawat kem berkenaan, hari ini.

Turut mengiringi, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam perkembangan sama, Hishammuddin berkata, beliau sudah mengarahkan pihak Tenaga Nasional Bhd (TNB) mempercepatkan proses baik pulih bekalan elektrik di kem berkenaan.

“Bekalan elektrik di kem ini antara terjejas dan belum pulih sepenuhnya sehingga sekarang biarpun air sudah surut.

“Saya berterima kasih kepada pihak TNB kerana terus beri perhatian dengan membekalkan tenaga elektrik sementara menggunakan generator.

“Namun pada masa sama, saya terangkan tadi betapa pentingnya bekalan elektrik di kem ini, bukan sahaja untuk pengoperasian tetapi demi kegunaan penghuni di rumah keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kem ini,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN