Mini Zoo Taman Teruntum nanti ada dinosaur

Mini Zoo Taman Teruntum nanti ada dinosaur

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN: Mini Zoo Taman Teruntum bakal muncul sebagai zoo hibrid pertama di dunia selepas projek menaik taraf siap sepenuhnya menjelang awal tahun depan.

Projek edu-tourism yang bermula bulan ini dibangunkan dengan konsep baharu iaitu menggabungkan elemen haiwan hidup dan haiwan animatronik prasejarah.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan, Dato’ Hamdan Hussin, berkata projek kerjasama dengan Wegrow Global Sdn Bhd itu membabitkan pelaburan kira-kira RM12 juta.

“Apabila siap kelak Mini Zoo Taman Teruntum bakal muncul sebagai tarikan pelancongan baharu di daerah ini dan Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Manaiktaraf Mini Zoo Taman Teruntum-Projek di Kompleks MBK, di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda; Setiausaha MBK, Datuk Hamiza Hamzah dan Pengarah Eksekutif Wegrow Global, Yong Lam Woei dan Teh Eu Jin.

Hamdan berkata, Zoo Mini Taman Teruntum seluas 4.4 hektar itu akan mengekalkan struktur sedia ada dan akan ditambahbaik agar lebih menarik dan memberi lebih keselesaan kepada pengunjung.

“Kira-kira 30 peratus akan dikekalkan untuk pameran haiwan hidup manakala selebihnya bakal dibangunkan projek edu-tourism yang turut menempatkan kafe bertema, makmal dinosaur dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Abd Rahim berkata, usaha yang dilaksanakan MBK itu bakal menarik lebih ramai pelancong ke daerah ini menjelang pembukaan kembali industri pelancongan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurutnya, melalui usaha itu Mini Zoo Taman Teruntum yang telah beberapa kali dinaikkan taraf akan diberi nafas baharu sebagai destinasi pelancongan wajib dikunjungi di daerah ini.

“Saya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah lain juga mengambil inisiatif menarik lebih ramai pelancong ke daerah mereka dengan memperkenalkan konsep tarikan baharu yang sesuai dengan produk pelancongan sedia ada,” katanya.