KUANTAN: Usaha mengesan remaja kontak rapat yang turut mandi di kolam dalam kawasan Taman Eko Rimba (TER) Beserah iaitu lokasi penularan kes jangkitan leptospirosis atau kencing tikus terus dilakukan.
Remaja terbabit perlu segera dirujuk ke klinik kesihatan berdekatan untuk pemeriksaan terutama sekiranya mereka bergejala.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman, berkata tindakan kawalan dan pencegahan telah dilakukan bagi menilai risiko jangkitan kencing tikus di TER Beserah.
Menurutnya, arahan membersih kawasan TER Beserah telah dikeluarkan dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan bertindak menutup sementara tempat berkenaan sejak 21 Julai lalu selepas jangkitan kencing tikus dikesan.
“Kencing tikus adalah penyakit berjangkit yang disebabkan haiwan yang dijangkiti oleh bakteria leptospira kepada manusia (penyakit zoonotik). Bakteria berkenaan terdapat di dalam air kencing haiwan yang dijangkiti seperti tikus, kucing, lembu, kambing, kuda dan haiwan lain.
“Antara tanda dan gejala jangkitan termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, muntah, jaundis (penyakit kuning), radang mata, sakit perut, cirit- birit, batuk dan ruam di kulit. Rawatan awal dengan antibiotik akan dapat menggelak komplikasi dan kematian,” katanya, di sini, hari ini.
Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang menasihatkan penduduk yang mendiami berdekatn TER Beserah supaya sentiasa menjaga kebersihan bagi mengelak kehadiran tikus dan haiwan perosak di rumah mereka. – MOHD IMRAN IZZAD