KUANTAN: Gerak kerja bagi merampas kerusi Parlimen Kuantan dan dewan undangan negeri (DUN) Teruntum dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sudah dimulakan sebelum pembubaran Parlimen diumumkan pada 10 Oktober lalu.
Naib Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Nara Nikman Nordin berkata, semua jentera termasuk ahli di peringkat akar umbi juga bersemangat untuk memastikan kemenangan calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum kali ini.
“Soal siapa calon atau daripada (parti) mana, kita serahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan di peringkat Bahagian, Negeri dan Pusat.
“Bagi kami, tugas utama ialah untuk memastikan kerusi (Parlimen) Kuantan dapat kita rampas, begitu juga kerusi DUN Teruntum yang dimenangi pembangkang sejak tiga penggal lalu.
“Saya percaya kita ada peluang (menang) memandangkan semua jentera UMNO Kuantan sudah melakukan kerja di lapangan sebaik PRU14 berakhir,” katanya ketika ditemui di Kuantan.
Kerusi Parlimen Kuantan kini disandang Fuziah Salleh, manakala DUN Teruntum pula disandang Sim Chon Siang, kedua-duanya daripada PKR sejak 2008.
Nara berkata, cabaran utama jentera UMNO dan BN Kuantan adalah memujuk kira-kira 20,000 pengundi muda.
“Inilah tumpuan utama kita, untuk mengesan dan memberi kesedaran kepada mereka yang kali pertama mengundi supaya mereka membuat keputusan (pilihan) tepat,” katanya. – KHALEEF FITRI