Misi getir Sri Pahang di Alor Setar

Misi getir Sri Pahang di Alor Setar

SRI Pahang FC yang terlepas dua perlawanan Liga Super akibat Covid-19 sudah bersedia memulakan saingan liga.

Justeru, kapten pasukan, Muslim Ahmad bersama rakan sepasukan menjanjikan saingan sengit apabila berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Rabu ini.

Katanya, segalanya sudah dilakukan terutama memperkasakan skuad itu terutama jentera serangan dalam misi mengutip tiga mata di tempat lawan.

“Sudah pasti kunjungan ke Alor Setar adalah untuk membawa pulang tiga mata biarpun kami jangkakan cabaran getir bakal dihadapi.

“Namun, tiada yang mustahil kerana kami berada pada prestasi terbaik. Fokus utama kami ialah dapat mengekalkan prestasi sepanjang 90 minit perlawanan,” katanya.