Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
SELEPAS seri pada dua perlawanan berturut-turut, Abdul Malik Mat Ariff mahu menamatkannya apabila Sri Pahang FC melayan tetamu, PJ City FC, di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Ahad ini.
Pemain tengah berpengalaman itu berkata, kemenangan perlu diraih segera dalam usaha untuk mengelak daripada berada di zon penyingkiran.
Katanya, perlawanan ketiga sebaik Liga Super bersambung diharap berpihak kepada Sri Pahang untuk kembali melonjakkan kedudukan pasukan lebih baik.
“Kami tidak boleh lagi kehilangan mata selepas mencatat dua keputusan seri bertemu Melaka United dan Sabah FC.
“Mahu atau tidak, kami perlu menewaskan PJ City untuk mengelak daripada keciciran lebih banyak mata,” katanya.
Abdul Malik yang sudah menjaringkan dua gol setakat ini turut mahu merobek gawang lawan.
“Bagaimanapun, fokus utama kami adalah mengekalkan komitmen sepanjang perlawanan terutama pada minit akhir perlawanan.
“Dua kali lawan menjaringkan gol penyamaan pada lewat perlawanan dan diharapkan ia tidak berlaku lagi apabila berdepan PJ City,” katanya.