Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
JERANTUT: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan cuba memujuk 24 kanak-kanak Orang Asli suku Batiq yang menetap Kampung Cangkung, Kuala Keniang, di sini, supaya dapat ke sekolah, November ini.
Pengarah JAKOA Pahang, Johari Alwi berkata, tempat belajar paling hampir adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pagi iaitu kira-kira sejam perjalanan dengan bot dari desa mereka.
Menurutnya, kanak-kanak berkenaan akan ditempatkan di asrama, dibiayai penuh oleh JAKOA dan akan dihantar pulang ke kampung untuk bertemu keluarga setiap minggu.
Katanya, pegawai JAKOA akan bertemu keluarga kanak-kanak berkenaan dalam usaha memujuk supaya membenarkan anak mereka ke sekolah dan menetap di asrama.
“Kita ingin memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan walaupun menetap jauh di pedalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas program lawatan pegawai JAKOA, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke Kampung Cangkung, Kuala Keniang, semalam.
Johari berkata, setiap tahun JAKOA menyediakan pelbagai kemudahan kepada murid dan pelajar Orang Asli, antaranya pengangkutan ke sekolah, yuran, perbelanjaan harian, asrama dan keperluan pendidikan seperti alat tulis serta buku.
“Kita turut menyediakan bantuan pakaian seragam sekolah. Selain itu, biasiswa turut disediakan bagi anak Orang Asli yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tempatan dan luar negara.” katanya.