Misi Shahar di Paya Besar, Abdul Rahman di Lipis

Misi Shahar di Paya Besar, Abdul Rahman di Lipis

KUANTAN: Penyandang kerusi Parlimen Paya Besar dan Parlimen Lipis beriltizam untuk mempertahankan kawasan masing-masing dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, yang dicalonkan semula di Paya Besar, berkata kepercayaan yang diberikan akan dibalas dengan kemenangan buat parti.

“Alhamdulillah saya terus diberikan kepercayaan oleh BN (Barisan Nasional) sebagai calon untuk Parlimen Paya Besar dalam PRU15.

“Terima kasih saya ucapkan kepada presiden, pucuk pimpinan tertinggi parti, pimpinan negeri Pahang, UMNO Bahagian Paya Besar dan semua yang menyokong pencalonan saya untuk menggalas amanah besar ini.

“Semestinya ini bukan sesuatu yang boleh dianggap ringan, tetapi ia satu tanggungjawab besar untuk membawa kemenangan BN di PRU15.

“Kepada warga Paya Besar, saya memohon diberi kepercayaan sekali lagi kepada saya untuk terus mencurahkan bakti dan budi di tanah bertuah Paya Besar.,” katanya.

Sementara itu, calon Parlimen Lipis, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan.

“Daripada hati dan sanubari saya, saya nak ucapkan terima kasih buat semua yang tak henti-henti menyokong dan sentiasa setia bersama saya.

“Inilah permulaan untuk saya terus membangunkan Lipis dan masyarakat luar bandar khususnya,” katanya.

Selain Mohd Shahar dan Abdul Rahman, kekal mempertahankan kerusi disandang ialah Dato’ Ramli Mohd Noor (Parlimen Cameron Highlands), Dato’ Sri Hasan Ariffin (Parlimen Rompin) dan Dato’ Sri Ismail Mohamed Said (Parlimen Kuala Krau). – MUHAMMAD IZZ ZAHIN