Misi tebus kecewa Abdul Malik

Misi tebus kecewa Abdul Malik

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

PENYERANG Sri Pahang FC, Abdul Malik Mat Ariff mahu menamatkan perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A Piala Malaysia dengan kemenangan.

Justeru, pemain kelahiran Kuantan bersama rakan sepasukan tidak akan memberi laluan mudah kepada Kuala Lumpur (KL) City FC apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Menurutnya, biarpun impian Sri Pahang ke suku akhir piala berprestij itu sudah berakhir, ia tidak bermakna skuad itu memberi laluan mudah kepada KL City.

“Kami akan bermain komitmen tinggi terutama perlawanan esok adalah yang terakhir buat Sri pahang dan sudah pastinya mahu menamatkannya dengan kemenangan.

“Kemenangan sudah pasti menutup sedikit kekecewaan selepas gagal ke suku akhir Piala Malaysia musim ini,” kata Malik yang menjaringkan tiga gol dalam saingan Piala Malaysia selepas lima perlawanan.

Dalam Kumpulan A, KL City dan Sarawak United mengisi slot suku akhir walaupun perlawanan masih berbaki satu perlawanan.