Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Misi memburu tiga mata menjadi fokus Sri Pahang FC apabila melayan kunjungan Perak pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam esok.
Ketua jurulatih pasukan, Thomas Dooley berkata, kekalahan 1-3 kepada Selangor Sabtu lalu, memerlukan komitmen tinggi daripada pemain untuk bangkit daripada kekecewaan.
Justeru, katanya, bukan sahaja jentera serangan, malah bahagian tengah dan pertahanan perlu mengekalkan prestasi terbaik sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.
“Saya harap pemain yang disenaraikan dalam kesebelasan utama dapat mempamerkan prestasi terbaik untuk memastikan tiga mata menjadi milik pasukan.
“Kemenangan akan membantu menyuntik semangat selepas tewas kepada Selangor pada perlawanan pertama,” kata jurulatih berasal dari Jerman itu.
Namun, Dooley meminta anak buahnya tetap berwaspada dengan prestasi semasa lawan yang memiliki barisan pemain berpengalaman.
“Bagi saya, Perak sebuah pasukan yang mantap dan diharapkan pemain bijak memanfaatkan peluang yang ada untuk memastikan kemenangan milik Sri Pahang malam esok,” katanya.
tamat/pm