Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
pic
Kuantan: Penjaga gol Sri Pahang FC, Zarif Irfan Hashimuddin mahu
memastikan khidmatnya ditagih sebaik saingan Liga Super bersambung Julai depan.
Biarpun mengakui perlu bersaing dengan Helmi Eliza Elias selaku penjaga gol utama skuad Tok Gajah, beliau tetap mahu mencapai misi berkenaan.
Justeru, katanya, tempoh rehat dua bulan diyakini membantu untuk mempertingkatkan prestasi dan menjadi pilihan disenaraikan dalam kesebelasan utama.
“Bagi saya, saingan merebut tempat selaku penjaga gol utama adalah persaingan sihat dan masing-masing mahu memberikan yang terbaik buat pasukan.
“Sebagai pemain, saya sememangnya mahu berada dalam skuad utama dan tempoh rehat panjang ini memberi lebih keyakinan untuk meningkatkan lagi kualiti.
“Tetapi segalanya terserah kepada ketua jurulatih (Dollah Salleh) untuk memilih penjaga gol utama apabila liga bersambung nanti,” katanya.
Sebaik saingan liga bermula, Zarif Irfan diberi tanggungjawab menggalas tugas sebagai penjaga gol utama pada perlawanan ketiga hingga ke-10.
Namun, kecederaan buku lali kiri menyebabkan tempat Zarif Irfan diambil alih penjaga gol berpengalaman, Helmi.
Prestasi mantap yang dipersembahkan Helmi menyaksikan bekas penjaga gol kebangsaan itu membantu Sri Pahang keluar dari zon penyingkiran.
Selepas 13 perlawanan, skuad Tok Gajah itu berada di kedudukan kesembilan dengan 12 mata.