Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar ihsan APM
KUALA LIPIS: Kehilangan seorang nenek dari rumahnya di Kampung Tanjung Jati di sini, sejak kelmarin, terus menjadi tanda tanya apabila wanita warga emas berusia 72 tahun itu masih gagal dikesan pasukan penyelamat.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lipis, Kapten (PA) Mohd Nor Azhar Yusof berkata, mangsa, suami mangsa menyedari kehilangannya pada jam 1 petang dan mengambil keputusan membuat laporan polis, semalam.
“Turut dimaklumkan, mangsa, Zaradah Othman, mempunyai masalah kurang daya penglihatan selain pergerakan terhad disebabkan hanya boleh merangkak kerana faktor usianya,” katanya hari ini.
Menurutnya, pihak APM bersama polis dan bomba menemui keluarga mangsa untuk mendapatkan maklumat dan operasi mencari dan menyelamat dimulakan pada sekitar jam 8.30 pagi tadi.
“Kawasan pencarian bermula di sekitar kawasan rumah sahaja berikutan petunjuk mengenai kehilangan adalah terhad. Pihak polis juga membawa seekor anjing pengesan untuk mencari mangsa dan membuka Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada jam 11.30 pagi,” katanya.