Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Jawatankuasa Masjid Ittifaqiah Taman Seri Inderapura (MITSI), di sini, membatalkan program ibadah korban apabila hampir semua 42 peserta memutuskan untuk tidak meneruskannya.
Timbalan Pengerusi MITSI, Rashid Mohamad, berkata keputusan drastik terpaksa dibuat dalam usaha mengawal penularan wabak COVID-19 di kalangan peserta korban dan penduduk setempat.
Selain itu, katanya, Taman Seri Inderapura juga kini berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), 18-31 Julai, di samping penduduk tidak dibenarkan keluar kecuali kes tertentu sahaja.
Katanya, walaupun kebenaran melakukan ibadah korban diterima daripada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuantan, peserta bersepakat untuk membatalkan program yang sepatutnya diadakan pada pagi Aidiladha pertama.
Peserta, Rahimi Hashim berkata, dia reda apabila tidak dapat melakukan ibadah korban pada Aidiladha 2021 supaya kebarangkalian jangkitan COVID-19 dapat dikawal.
“Sudah tertulis yang kami penduduk Taman Seri Inderapura tahun ini tidak dapat melakukan ibadah korban. Ada rezeki dan dipanjangkan umur tahun depan kita boleh melakukan ibadah berkenaan,” katanya.