MOF akan bantu sektor pelancongan agar kembali rancak

MOF akan bantu sektor pelancongan agar kembali rancak

Oleh Husin Ibrahim 

fikrahpahang@gmail.com 

BERA: Industri pelancongan akan diberi tumpuan untuk dipulihkan sebagaimana sektor lain yang terkesan teruk akibat pendemik Covid-19.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata industri pelancongan adalah antara sektor terjejas teruk di samping peruncitan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), elektronik serta pembuatan. 

Tengku Zafrul berkata, kesemua empat sektor itu memerlukan satu peruntukan yang besar untuk dipulihkan untuk pembangunan ekonomi yang mampan.

Beliau berkata, sektor pelancongan memerlukan masa lebih daripada setahun untuk dipulihkan sebagaimana sebelum negara dan dunia dilanda wabak Covid-19.

“Oleh itu, kita perlu melihat semula bagaimana kita dapat membantu (memperbaiki) agar sektor pelancongan seperti ekopelancongan di Tasek Bera ini.

“Ini supaya apabila pintu sempadan dibuka, prestasi ekonomi lokasi pelancongan seperti di Tasik Bera akan kembali rancak. Kita perlu memperbaiki infrastrukturnya, mempromosikannya dan memulihkannya.

“Pahang sebenarnya hilang RM1.35 billion daripada sektor pelancongan pada 2020 dan dijangka cecah RM1.65 billion pada tahun ini,” kata Tengku Zafrul berkata selepas melawat Tasek Bera Resort, di sini, pada Sabtu, dalam siri Jelajah Belanjawan 2022 ke Pahang bermula di Cameron Highlands, Lipis dan Temerloh. 

Turut hadir YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman; Pegawai Daerah Bera,  Dato’ Zaman Azam Mohamat Sarif @ Ahmat dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamarudin Ibrahim.

Tengku Zafrul bersama Wan Rosdy turut melawat perkampungan Orang Asli di Kampung Limbahan dan melepaskan benih anak ikan di Tasek Bera. 

Selain itu, Tengku Zafrul turut menjelaskan bahawa ekonomi negara dijangka kembali pulih seperti sediakala pada 2022, berdasarkan unjuran yang diumumkan oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebelum ini.