TEMERLOH: Sudah jatuh ditimpa tangga. Itu nasib terpaksa ditempuh keluarga Zulhaidi Abdullah Sani, 29, dari Kampung Desa Baru Purun di sini, yang mengalami pendarahan dalam kepala selepas terjatuh kira-kira dua minggu lalu.
Lebih malang, ibu lelaki berkenaan, Muharanah Jaafar yang berusia sekitar 60-an, sedang diuji dengan penyakit kencing manis yang menyebabkan kakinya terpaksa dipotong.
Kisah sedih keluarga ini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang sempat menjengah ke rumah mereka, hari ini.
Menerusi perkongsian di Facebook, Syed Ibrahim berkata, dalam lawatan itu, beliau menyerahkan sumbangan kewangan untuk membeli susu dan lampin bagi meringankan bebanan keluarga berkenaan.
“Sebelum ini, JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) berkenaan juga sudah menyerahkan katil kesihatan untuk saudara Zulhaidi.
“Saya juga akan memanjangkan perkara ini ke pengetahuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) negeri untuk membantu urusan rawatan mereka,” katanya.
Terdahulu, Syed Ibrahim yang juga Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, sempat melawat dan menyampaikan sumbangan kepada seorang penduduk di Kampung Lipat Kajang yang mengidap angin ahmar ringan.
“Bagi memudahkan urusan rawatan puan Rosnah yang mengidap ‘minor stroke’, saya bersama Sukarelawan Pahang dan Pemuda UMNO (Kuala Krau) sampaikan sedikit sumbangan iaitu kerusi roda, katil kesihatan dan bantuan kewangan kepadanya,” jelasnya. – HELMY ABD RAHMAN