Moga ada sinar buat pembeli rumah retak

Moga ada sinar buat pembeli rumah retak

KUANTAN: Usaha kerajaan negeri mencari jalan penyelesaian berhubung kes hampir 30 kediaman baru di sebuah kawasan perumahan di Kempadang dekat sini yang mengalami keretakan teruk, menampakkan hasil apabila pihak pemaju memberikan komitmen untuk menanggung kos baik pulih rumah yang rosak.

EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Dato’ Sri Johari Harun, berkata perkara itu dimaklumkan pihak pemaju kepadanya dalam satu pertemuan yang diadakan hari ini. 

“Pemaju beri komitmen untuk tanggung kos baik pulih, tetapi mereka ingin pastikan projek pembetungan di kawasan berhampiran yang didakwa menjadi punca keretakan, dihentikan dan tanah kawasan perumahan ini stabil terlebih dahulu.

“Jika tidak, nanti akan jadi lagi keretakan selepas dibaik pulih. Kita mencari penyelesaian yang sistemetik bagi memberi keadilan kepada pembeli yang menjadi mangsa. Pinjaman perlu dibayar dan kerajaan negeri tak pandang mudah perkara ini,” katanya selepas melakukan tinjauan dan perbincangan di kawasan perumahan itu, hari ini.

#kuantan EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Dato’ Sri Johari Harun bersama wakil penduduk, pihak pemaju, pihak perunding, LPHP dan MBK mengadakan lawatan kerja ke Perumahan Aman Plus, Taman Kuantan Jaya. Gambar Fikrah Pahang oleh Mustaffa Kamal

Johari berkata, beliau juga mahu berjumpa dengan arkitek yang bertanggungjawab berkaitan kelulusan sijil penyiapan dan pematuhan (CCC) perumahan terbabit, esok.

“Bagaimana CCC boleh lulus sedangkan berlaku kerosakan struktur yang teruk… ini persoalan besar. Saya diberitahu, CCC lulus walaupun sebelum itu penduduk dakwa sudah ada keretakan.

“Daripada keretakan kecil, akhirnya menjadi besar dan saya ingin tahu mengapa perkara ini berlaku. Adakah terdapat kecuaian daripada mana-mana pihak dan jika ada, arkitek perlu jawab,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN