Moga aokmer dapat belajor leklok

Moga aokmer dapat belajor leklok

KOTA KINABALU: Keceriaan jelas terpancar di wajah 100 anak Pahang yang kini menuntut di Sabah apabila menerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 Siswa dan Siswi kelahiran Pahang sebanyak RM200 seorang.

Lebih manis, bantuan berkenaan disampaikan sendiri YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan EXCO kerajaan negeri yang berkunjung dua hari ke negeri di bawah bayu itu bermula semalam.

Rata-rata yang ditemui memanjatkan rasa syukur dan berterima kasih atas bantuan berkenaan yang disifatkan mereka amat diperlukan, lebih-lebih lagi tatkala kos sara diri semakin meningkat ketika ini.

Wong Yee Huey, 2

Penuntut tahun dua ijazah sarjana muda dari Fakulti Sains dan Sumber Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Wong Yee Huey, 22, berkata bantuan itu amat bermakna buatnya.

“Saya agak terkejut bila dapat tahu mengenai bantuan ini, namun amat bersyukur dan berharap ia diteruskan dari semasa ke semasa.

“Walaupun mendapat tajaan pengajian tetapi dalam keadaan sekarang, jumlah yang diterima tidak memadai, jadi bantuan ini memang sangat membantu,” katanya yang berasal dari Kuantan.

Mohd Ameer Aiman Mohd Zulkifli, 25

Penuntut ijazah sarjana dalam bidang sains matematik di UMS, Mohd Ameer Aiman Mohd Zulkifli, 25, berkata dia bersyukur menerima bantuan berkenaan.

“Bagai orang mengantuk disorongkan bantal sebab bantuan yang tidak disangka-sangka ini tiba dan bolehlah saya tampung perbelanjaan sedikit sebanyak,” katanya. 

Bagi Yang Dipertua (YDP) Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) UMS, Nor Atiqah Sukri, walaupun mungkin ada menganggap jumlah diterima kecil, ia nampak amat besar buatnya. 

Yang Dipertua (YDP) Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) UMS, Nor Atiqah Sukri,

“Semoga diteruskan lagi memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi kini,” katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, Sabah adalah negeri pertama dikunjunginya untuk menyampaikan bantuan berkenaan tahun ini.

“Selepas ini kita akan ke negeri lain juga untuk beri bantuan kepada anak Pahang di negeri terbabit.

“Kita boleh bagi (beri) bantuan ini sebab Pahang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh. Bermula 2019, kita peroleh hasil sebanyak RM847 juta, diikuti 2020 (RM850 juta) dan 2021 (RM866 juta). Tahun ini sasaran kita RM1 bilion dan setakat semalam, kita dah peroleh RM760 juta. 

“Selain datang beri bantuan, kita juga nak mengeratkan silaturahim, kami pun nak juga jumpa anak Pahang di perantauan dan pada masa sama, biarlah anda semua kenal wajah pemimpin Pahang,” katanya sebelum menyampaikan bantuan itu di UMS di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin; barisan EXCO kerajaan negeri dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak – ZULKEPLI OSMAN