KUANTAN: Sebagai tanda kesungguhan memelihara institusi agama Islam di negeri ini, Kerajaan Pahang menyalurkan sumbangan seragam jubah dan imamah (serban) rasmi Universiti Al-Azhar, Kaherah kepada 45 individu terdiri daripada individu berkaitan hal ehwal agama di Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata idea pemberian jubah berkenaan datangnya daripada YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Katanya, antara individu menerima jubah dan imamah itu ialah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Abdul Rahman Osman; Ketua Hakim Syarie negeri, Dato’ Sri Abdul Rahman Md Yunos dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Zulkefli Ali.
“Turut menerima, Timbalan Mufti Pahang, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Imam Besar Masjid Negeri, Ketua Pendakwaan Syariah Pahang, dan seramai tujuh Ketua Penolong Pengarah JAIP.
“Selain itu, 14 Kadi Daerah, Timbalan Kadi (10 orang), Imam Masjid Negeri (seorang) dan Imam Masjid Daerah (14 orang) juga menerima jubah dan imamah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, pnyerahan itu bukan sahaja tanda sokongan dan motivasi kerajaan negeri kepada institusi agama di Pahang, malah untuk jalinan ikatan dakwah, akidah dan akedemik berterusan antara Pahang dan Universiti Al-Azhar. – HELMY ABD RAHMAN