KUANTAN: Seramai 20,675 calon menduduki peperikaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Pahang yang bermula hari ini sehingga 29 Mac depan.
Pengarah Pendidikan Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman, berkata jumlah itu membabitkan seramai 10,137 calon lelaki dan 10,538 perempuan.
Katanya, semua calon menduduki peperiksaan berkenaan di 264 pusat peperiksaan di seluruh negeri ini.
“Tedapat seramai 1,375 calon dari Sekolah Agama Negeri (SMAN) dan 91 Sekolah Agama Rakyat (SAR), manakala 817 lagi calon persendirian.
“Seramai 100 calon berkeperluan khas dan calon swasta pula seramai 214,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan dan tinjauan peperiksaan SPM 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar di sini, hari ini.
Menurutnya, terdapat lima calon menduduki peperiksaan berkenaan di hospital berikutan masalah kesihatan.
“Setakat ini, kita tidak menerima laporan mengenai calon positif COVID-19 dan untuk calon yang dikuarantin, kita belum dapat butiran mengenainya.
“Namun kita bersedia dengan sebarang kemungkinan dan sentiasa menekankan pematuhan SOP (prosedur operasi standard) terhadap semua yang terbabit dalam peperiksaan ini,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN