Moga dapat harumkan nama Pahang lepas ni yek

Moga dapat harumkan nama Pahang lepas ni yek

KUANTAN: Tiga perasaan berbeza muncul serentak. Itu dirasakan Muhammad Haziq Mohammad Dzulkhairy, 22, sebaik diumumkan sebagai johan hafazan juzuk 1 hingga 30 (lelaki) pada Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1443 Hijrah/ 2021 Masihi.

Menurut penuntut jurusan kejuruteraan kimia di Universiti Malaya (UM) itu, dia bukan sahaja berasa terkejut dan teruja, malah pada masa sama bersyukur apabila sekali lagi muncul pemenang tahun ini selepas menjadi johan dalam kategori sama, tahun lalu.   

“Alhamdulillah, saya berasa amat bersyukur apabila jadi johan untuk tahun kedua berturut-turut, tapi masih perlu buat penambahbaikan dan latihan untuk peringkat kebangsaan nanti,

“Memang terharu, bersyukur dan tidak sangka dapat menang hari ini… Mungkin berkat doa ibu bapa saya yang ingin lihat saya dapat memasuki (pertandingan) peringkat kebangsaan,” katanya yang berasal dari Taman Guru di sini.

Seramai 36 peserta menyertai pertandingan berkenaan yang membabitkan tiga kategori iaitu kategori hafazan juzuk 1 sehingga 10 lelaki dan perempuan; hafazan juzuk 1 sehingga juzuk 20; serta hafazan juzul 1 sehingga juzuk 30 yang berlangsung selama tiga hari di Hotel Grand Darul Makmur bermula Selasa lalu hingga semalam. 

Hadiah kemenangan, sijil penghargaan dan cenderahati disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang mewakili YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Dato’ Dr Zulkifle Ali dan Penasihat Undang-undang Negeri, Saiful Edris Zainuddin. – MUSTAFFA KAMAL