Moga kemenangan di Pekan menaikkan semangat ayahanda, kata Nizar Najib

Moga kemenangan di Pekan menaikkan semangat ayahanda, kata Nizar Najib

KUANTAN: Pemuda UMNO Pekan menuntut kerja keras jentera Barisan Nasional (BN) bagi menyapu bersih kerusi Parlimen dan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pekan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sekali gus menaikkan semangat bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Ketuanya, Dato’ Mohd Nizar Najib, berkata kemenangan bersih itu juga dapat memberi inspirasi kepada stiap kawasan lain di Pahang.

“Sekiranya menang empat DUN itu (di Pekan), bermakna kita dah dapat 14 peratus daripada (keseluruhan) kerusi DUN Pahang untu tubuhkan (kerajaan negeri dengan majoriti) dua pertiga.

“Jadi amat penting untuk kita kekalkan momentum dan rekod cemerlang untuk menang di keempat-empat DUN dan Parlimen Pekan. Saya berharap ini akan memberi inspirasi dan semangat kepada bahagian lain dan ayahanda (Najib) sendiri yang sedang menjalani ujian di (Penjara) Kajang,” katanya ketika ditemui berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.

Mohd Nizar hadir memberikan sokongan kepada lebih 20 badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis berhubung ceramah politik penyandang kerusi Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang didakwa menghina institusi diraja Pahang.

Ditanya peluangnya untuk bertanding pada PRU15, Mohd Nizar menyerahkan perkara itu kepada kepemimpinan parti.

“Kita hormati apa saja keputusan kepimpinan parti di mana kami sebagai penyokong tegar BN akan menyerahkan kepada kebijaksanaan pemimpin atasan parti untuk membuat keputusan siapa yang layak bertanding di Parlimen Pekan dan empat DUN yang ada.

“Saya percaya pemimpin kita (UMNO) telah membuat kajian masing-masing dan membuat penilaian dari segi penerimaan masyarakat, pengalaman dan soal ‘Winnable, Acceptable and Likeable’ (WALI),” katanya. – HELMY ABD RAHMAN