Moga murah rezeki

Moga murah rezeki

KUANTAN: “Saya terharu sangat kerana Dato’ Mus (Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid) tiap-tiap tahun datang jenguk keadaan saya dan anak-anak.

  “Sejak arwah suami meninggal dunia akibat kanser paru-paru hampir lima tahun lalu dan ketika itu saya sedang mengandungkan anak bongsu, sampailah sekarang usia anak dah masuk empat tahun, dia (Mustaffar) masih ingatkan kami sekeluarga dan datang memberikan bantuan tunai. Semoga dia murah rezeki,” kata ibu tunggal, Noor Asiah Saidin, 39, yang tinggal bersama lima anaknya di rumah sewa yang usang di Kampung Rumbia, Beserah, di sini.

  Wanita berkenaan ternyata cekal membesarkan tiga anak perempuan dan dua lelaki berusia empat hingga 15 tahun, namun agak risau apabila dia dikesan mengidap penyakit saraf.

  “Sebelum ini saya mengambil upah menjahit pakaian, tetapi kebelakangan ini agak sukar sebab penyakit saraf yang bermula di leher, kini mula memberi kesan di bahagian tangan dan jika semakin teruk, doktor nasihatkan supaya saya dibedah.

  “Saya sekarang cuma ambil upah menjaga anak orang bagi menampung belanja keperluan rumah,” katanya kepada Fikrah Pahang, hari ini.

  Menurutnya, walaupun setiap bulan menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), dia tetap perlu mencari pendapatan lain untuk menampung pembelajaran anak-anaknya.

  “Saya kalau boleh tak mahu menyusahkan orang lain, tapi jika ada yang boleh tolong belikan mesin jahit tepi, bolehlah saya berdikari,” katanya.

  Sementara itu, Mustaffar berkata, sebagai pemimpin, menjadi tanggungjawabnya untuk peduli terhadap nasib rakyat di kawasan Parlimen Indera Mahkota.

  “Biarpun tidak memegang kuasa, nasib rakyat dalam kawasan Indera Mahkota sentiasa dijaga. Kalau nak diikutkan, kita (UMNO Bahagian Indera Mahkota) membelanjakan sekitar RM10,000 sebulan untuk bantu mereka yang memerlukan,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN