KUANTAN: Seramai lapan menjadi korban banjir di Pahang setakat ini dengan lima daripadanya membabitkan kejadian banjir lumpur di Telemong, Bentong, dua di Kuantan dan satu lagi Raub.
Dalam kejadian Sabtu lalu, lima kenderaan dilaporkan terperangkap di atas jambatan sebelum dihanyutkan arus Sungai Telemong yang melimpah sebelum itu.
Mengikut keterangan Pegawai Penyelia Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Che Zainurin Mansor, sebelum kejadian, pasukannya menjalankan kerja-kerja pemindahan mangsa banjir yang terperangkap di sebuah pusat penginapan di kawasan Telemong.
Bagaimanapun, sebaik menghampiri kawasan jambatan, pasukan itu terperangkap disebabkan air naik mendadak.
“Kira-kira jam 2 pagi (Ahad), pasukan kami yang masih berada di kawasan itu mendapat berita terdapat lima kenderaan terperangkap dan dihanyutkan sungai yang melimpah di atas jambatan.
“Bomba menyelamatkan 10 daripada 16 mangsa manakala seorang perempuan warga emas perempuan meninggal dunia. Lima lagi hilang dihanyutkan air,” katanya.
Menurutnya, kerja-kerja menyelamat diteruskan pada Isnin (semalam) dan pada jam 1.17 tengah hari, bomba menemui mayat perempuan dewasa kira-kira satu kilometer (km) dari tempat kejadian.
“Mangsa kedua, seorang perempuan warga emas ditemui jam 1.38 dengan jarak 1.1km dari tempat kejadian, mangsa ketiga iaitu lelaki dewasa ditemui jam 2 petang (1.2km dari tempat kejadian).
“Mayat keempat iaitu seorang perempuan dewasa, ditemui kira-kira empat km dari tempat kejadian dan gerakan mencari seorang lagi mangsa masih diteruskan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman, berkata mangsa banjir di negeri ini bertambah kepada 37,793 mangsa sehingga jam 8 pagi tadi.
“Mangsa membabitkan 10,228 keluarga yang ditempatkan di 280 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Pahang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. – HELMY ABD RAHMAN