KUANTAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat buruk dan waspada yang dijangka berlaku di beberapa daerah di Pahang sehingga Selasa.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat berterusan (buruk) dijangka berlaku di Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin sehingga esok.
“Hujan berterusan (waspada) pula dijangka berlaku di Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh sehingga Selasa,” petik hantaran itu.
Untuk rekod, amaran hujan berterusan (buruk) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan hujan/ribut petir sedang atau dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 milimeter (mm) dalam tempoh enam jam.
Amaran hujan berterusan (waspada) pula dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam di mana-mana kawasan. – HELMY ABD RAHMAN