TEMERLOH: Gangguan bekalan air yang membelenggu kehidupan penduduk beberapa kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di sini dijangka dapat diatasi tidak lama lagi.
Ia berikutan masalah yang menjadi punca gangguan berkenaan sudah dikenal pasti dan pihak berwajib kini dalam proses menyelesaikannya mengikut kaedah terbaik.
Ahli DUN Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata melalui pertemuan diadakan antara pihaknya dengan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kepimpinan setempat, satu ketetapan diambil untuk melaksanakan beberapa langkah perlu bagi mengatasi masalah terbabit.
“Masalah air sering berlaku di beberapa kampung dalam DUN Kerdau antaranya Kampung Desa Baru Purun, Padang Paku, Rumpun Makmur dan Paya Sendayan.
“Pihak PAIP sudah mengenal pasti punca permasalahan ini dan mencadangkan untuk menambah motor atau enjin penggiliran bagi Loji Air Batu Sawar yang hanya ada dua dan sebelum ini sering rosak.
“Turut dicadangkan, pembinaan tangki takungan air baharu yang boleh menampung air sekiranya belaku gangguan elektrik yang menyebabkan enjin tidak berfungsi dan seterusnya membina volta tambahan dan berkuasa lebih oleh TNB,” katanya yang juga EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri.
Menurutnya, pihak PAIP memaklumkan kepadanya, langkah penyelesaian terbabit juga dapat membantu mengatasi masalah air di sekitar Jengka yang turut menerima bekalan daripada Loji Air Batu Sawar.
“Usaha ini membabitkan kerja yang agak besar, masa yang lama dan kos yang tinggi. Bagaimanapun, kita akan dapatkan bantuan PAIP dan memanjangkannya kepada kerajaan negeri,” katanya. – KABHI ISMAIL